| Y.B. DATO' SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat | |
Ucapan Y.B. Dato' Seri Sharizat binti Abdul Jalil
PERUTUSAN Y.B. DATO’ SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
SEMPENA MAJLIS PENUTUP DIALOG “HOME OFFICE”
DI HOTEL PRINCE, KUALA LUMPUR PADA 18 MEI 2004
Assalammulaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan selamat petang.
Terlebih dahulu marilah kita memanjangkan kesyukuran kita kepada
Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita hadir ke majlis
penutup Dialog “Home Office” pada petang ini.
Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada para penceramah dan
pengerusi sesi Dialog “Home Office” kerana sudi meluangkan
masa bersama-sama kita untuk berkongsi buah fikiran dan
pengalaman masing-masing dan seterusnya membincangkan isu-isu
berkaitan “home office”.
Saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil-wakil
daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan
bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi kerana memberikan
sokongan padu dalam menjayakan dialog ini.
Bekerja dari rumah merupakan cara kerja alternatif yang cuba
diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat kepada masyarakat Malaysia, khususnya bagi golongan
wanita, orang kurang upaya dan warga emas.
Penganalisis ekonomi berpendapat bahawa “home office” adalah “trend”
bekerja pada masa hadapan. Di Amerika Syarikat, umpamanya, “home office”
sedang pesat berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kira-kira 10%.
Keinginan untuk mencapai “economic self-sufficiency” telah memberikan
motivasi dan semangat kepada ramai penduduk Amerika Syarikat
bagi memasarkan kemahiran mereka untuk beroleh pendapatan daripada rumah.
Berdasarkan perkembangan semasa ini, semakin ramai orang
di seluruh dunia ingin mengawal kehidupan mereka dengan
memulakan perniagaan dari rumah atau bekerja di rumah.
Konsep “home office” ini boleh menjadi sumber pendapatan
utama untuk seseorang ataupun “part-time venture”
bagi memperolehi pendapatan sampingan bagi keluarga mereka.
Inovasi dan perkembangan pesat dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT), terutamanya Internet,
telah memberikan peluang baru kepada orang ramai
untuk bekerja dari rumah. Dari pengalaman negara Barat,
sebahagian besar daripada pengamal konsep “home office”
memulakannya secara sambilan terlebih dahulu. Seterusnya,
perniagaan tersebut berkembang menjadi pekerjaan sepenuh masa
dan sumber pendapatan utama. Itulah sebabnya konsep “home office”
mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada suri rumah
tangga, warga emas, golongan kurang upaya, serta individu yang
ingin mencari pendapatan sampingan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kita semua
bahawa pelaksanaan “home office” tidak boleh dipandang ringan. Ini
kerana kejayaan “home office” memerlukan kemahiran dalam penghasilan
sesuatu produk atau perkhidmatan serta pemasarannya secara berkesan.
Selain itu, ianya memerlukan kecekapan dalam bidang pengurusan
dan sikap positif seseorang individu. Terdapat banyak cabaran yang
perlu kita hadapi sebelum memperoleh kejayaan yang diharapkan.
Sehubungan itu, kita perlu merancang dengan teliti sebelum menceburkan
diri dalam “home office”. Tanpa perancangan yang rapi, kita mungkin akan
kerugian masa yang berharga selain daripada wang ringgit.
Di Malaysia, konsep “home office” telah mula dipraktikkan oleh masyarakat
tempatan, tetapi belum secara meluas. Penggunaan ICT telah
membolehkan seseorang individu bekerja dari rumah. Salah satu
contoh kejayaan pelaksanaan konsep “home office” ialah program
eHomemakers.net. Ia adalah sebuah komuniti siber bagi suri rumah
dan pekerja di rumah yang memilih tugas menjadi ibu bapa sebagai
tanggungjawab utama dan sebagai gaya hidup alternatif. Selain itu,
eHomemakers.net turut menggalakkan dan membimbing ahli-ahlinya
untuk bekerja dari rumah dengan menyediakan maklumat mengenai
cara membuat keputusan, cara memulakan dan mengekalkan usaha
penjanaan pendapatan dari rumah, serta menyediakan pelantar siber
bagi kegiatan peribadi secara berdikari, di mana ahli-ahli saling
tolong-menolong melalui rangkaian perniagaan, penyelesaian masalah
secara kreatif dan perkongsian idea.
Satu lagi contoh yang baik mengenai kejayaan “home office”
di Malaysia ialah seorang penulis bagi ruangan Wheel Power
dalam akhbar The Star. Penulis yang saya maksudkan itu ialah
Encik Anthony Thanasayan. Walaupun beliau tergolong dalam
kategori orang kurang upaya, tetapi beliau telah menjadi penulis
ruangan khas The Star semenjak lapan tahun yang lepas. Apa
yang menarik ialah beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke pejabat
urusan The Star tetapi mampu memberi sumbangan artikelnya
secara berterusan kepada akhbar tersebut. Encik Anthony telah
menggunakan ICT dengan sepenuhnya untuk bekerja di rumah bagi mencari nafkah.
Sekiranya kita mengupas konsep “home office” dengan terperinci,
kita akan mengetahui bahawa elemen utamanya ialah
“tanpa meninggalkan rumah”. Elemen ini amat penting bagi
wanita yang mempunyai anak kecil kerana kecenderungan
wanita-wanita ini untuk berada dekat dengan anak-anak mereka.
Wanita-wanita ini yakin bahawa mereka adalah penjaga yang
terbaik untuk anak-anak mereka berbanding dengan pengasuh atau
pembantu rumah.
Para ibu ini tidak boleh disalahkan kerana ada kajian yang
menunjukkan bahawa enam tahun pertama adalah amat kritikal
untuk kanak-kanak kerana mereka memerlukan penjagaan
yang terbaik. Jadi, daripada meletakkan anak-anak kita di bawah
jagaan orang-orang yang tidak tentu latar belakangnya, adalah lebih
baik kita menjaga anak kita sendiri. Wanita-wanita yang berpegang
kepada prinsip ini sanggup berhenti kerja dari mempertaruhkan
masa depan anak-anak mereka di tangan orang lain. Kadangkala,
yang berhenti itu adalah wanita-wanita yang amat berkelayakan dan
berpotensi. Jika perkara ini dibiarkan, maka negara akan kerugian
dari segi sumber tenaga yang boleh membangunkan negara.
Sehubungan itu, “home office” bukan sahaja memberi peluang
kepada wanita untuk bekerja di rumah dan memperolehi pendapatan,
tetapi juga memberi peluang kepada wanita untuk bersama-sama
memberi sumbangan ke arah pembangunan negara.
Konsep bekerja ““home office” dapat memberikan kesan positif
kepada seseorang kerana peningkatan produktiviti melalui pengurangan
masa yang terbazir dalam perjalanan pergi dan balik ke pejabat
disebabkan kesesakan lalu lintas. Pada masa yang sama,
kesesakan jalan raya yang dihadapi terutamanya di bandar raya
utama di negara ini seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru
dapat diatasi. Ini turut membantu mengurangkan pencemaran
udara di persekitaran kita.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak
yang telah memberikan cadangan dan pandangan yang bernas
bagi menjayakan Dialog “Home Office” pada hari ini. Kementerian
saya akan meneliti semua cadangan dan saranan
yang diberikan sebelum mengemukakannya kepada pihak kerajaan
supaya konsep bekerja dari rumah atau “home office” dapat
dikembangkan di Malaysia, dan dalam masa yang sama dapat
mewujudkan masyarakat yang mesra keluarga.
Saya yakin rumusan dan syor yang diberikan dapat membantu
kerajaan dalam usaha merangka program-program yang berkesan
ke arah mewujudkan kaedah kerja alternatif kepada rakyat Malaysia.
Pihak kerajaan akan cuba menyediakan persekitaran dan mekanisme
sokongan yang sesuai bagi membolehkan masyarakat Malaysia,
khususnya wanita, golongan kurang upaya dan warga emas,
menggunakan sepenuhnya potensi mereka di dalam dunia perniagaan
dan “home office”.
Akhir kata, dengan lafaz Bismillah Hirrahma Nirrahim, saya
menutup dengan rasminya Dialog “Home Office” anjuran Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sekian, terima kasih.
DATO’ SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
No comments:
Post a Comment